Chapter 1
1Sebermula, maka baginda raja Daud sudah tua dan cukuplah umurnya, maka ditudungi oranglah akan baginda dengan beberapa helai
gebar, tiada juga datang suhunya.
2Maka sembah segala hambanya kepadanya: Baiklah dicahari oranglah akan tuanku seorang perempuan muda, seorang anak dara, supaya
selalu ia di hadapan tuanku dan dipeliharakannya tuanku dan ia berbaring pada ribaan tuanku, supaya datanglah suhu tuanku.
3Maka dicahari oranglah dalam segala jajahan negeri Israel akan seorang perempuan muda yang elok parasnya, maka didapatinya
akan Abisaj, seorang perempuan Sunami, lalu dihantar oranglah akan dia menghadap baginda.
4Maka perempuan muda itu amat elok rupanya; dipeliharakannya dan dilayaninya akan baginda, tetapi tiada juga baginda bersetubuh
dengan dia.
5Hata, maka dalam antara itu adalah Adonia, anak Hajit itu, mengatas-ataskan dirinya, katanya: Nicaya aku akan menjadi raja
kelak! Maka disuruhnya lengkapkan akan dirinya beberapa rata dan orang berkuda dan lima puluh orang akan berlari-lari di hadapannya.
6Maka belum pernah ayahnya gusar akan dia seumur hidupnya, atau titahnya: Mengapa engkau berbuat begitu? Dan lagi iapun sangat
elok rupanya dan Hajit sudah memperanakkan dia kemudian dari pada Absalom.
7Hata, maka bermufakatlah ia dengan Yoab bin Zeruja dan dengan imam Abyatar; keduanya itu membantu dan mengikut akan Adonia.
8Tetapi adapun imam Zadok dan Benaya bin Yoyada dan nabi Natan dan Simai dan Rei dan segala orang pahlawan yang pada Daud itu
tiada sefakat dengan Adonia.
9Maka dikorbankan Adonia beberapa kambing domba dan lembu dan domba jantan yang tambun dekat dengan batu Zohelet, yang pada
sisi mata air Rogel; dijemputnya akan segala saudaranya, yaitu akan segala putera baginda, dan akan segala orang Yehuda, hamba
baginda.
10Tetapi tiada dijemputnya akan nabi Natan atau akan Benaya atau akan segala pahlawan, atau akan Sulaiman, adiknya.
11Maka pada masa itu kata Natan kepada Batsyeba, bunda Sulaiman: Tiadakah engkau dengar bahwa Adonia, anak Hajit itu, raja?
maka baginda Daud yang dipertuan tiada mengetahuinya.
12Maka sekarangpun mari, aku hendak memberi nasehat kepadamu, supaya engkau meluputkan nyawamu sendiri dan nyawa anakmu Sulaimanpun.
13Pergilah engkau masuk ke dalam menghadap baginda raja Daud, lalu bersembahlah kepadanya demikian: Bukankah tuanku sudah bersumpah
kepada patik serta titah tuanku: Tak akan jangan anakmu Sulaiman itu menjadi raja kelak kemudian dari padaku, dan iapun akan
duduk di atas takhta kerajaanku! mengapa maka sekarang Adonia itu sudah naik raja?
14Maka sesungguhnya sementara engkau lagi bersembah begitu kepada baginda, akupun akan masuk kemudian dari padamu dan menggenapi
lagi segala sembahmu itu.
15Hata, maka masuklah Batsyeba menghadap baginda ke dalam bilik bersakat, tetapi baginda sudah sangat tua dan Abisaj, perempuan
Sunami itu adalah melayani baginda.
16Maka Batsyebapun tunduk dirinya, lalu sujud di hadapan baginda; maka titah baginda: Apa kurang?
17Lalu sembahnya kepadanya: Ya tuanku! bukankah tuanku sudah bersumpah kepada patik demi Tuhan, Allah tuanku, titah tuanku:
Tak akan jangan Sulaiman, anakmu itu, akan menjadi raja kelak kemudian dari padaku dan iapun akan duduk di atas takhta kerajaanku
ini!
18Maka sekarang sesungguhnya Adonia sudah naik raja dan tuanku tiada mengetahuinya!
19Maka telah dikorbankannya beberapa berapa lembu dan domba jantan yang tambun dan kambing domba, dijemputnya akan segala putera
baginda dan akan imam Abyatar dan akan Yoab, panglima perang itu, tetapi tiada dijemputnya akan patik tuanku Sulaiman.
20Maka sekarang, ya tuanku! mata segala orang Israel adalah memandang kepada tuanku, supaya tuanku memberitahu kepadanya siapa
akan duduk di atas takhta kerajaan tuanku kemudian dari pada tuanku kelak.
21Melainkan akan jadi, apabila tuanku sudah mangkat beradu dengan segala nenek moyang tuanku, bahwa patik dan anak patik Sulaiman
itu akan dibilang seperti orang berdosa juga adanya.
22Maka sesungguhnya sementara ia lagi bersembah kepada baginda demikian, tiba-tiba masuklah nabi Natan.
23Maka diberitahu oranglah kepada baginda, sembahnya: Bahwasanya di sini adalah nabi Natan. Maka datanglah ia menghadap baginda,
lalu sembah sujud kepada baginda dengan mukanya sampai ke bumi.
24Maka sembah Natan: Ya tuanku! Sungguhkah tuanku sudah bertitah demikian: Bahwa Adonia akan menjadi raja kemudian dari padaku,
dan iapun akan duduk di atas takhta kerajaanku?
25Karena pada hari ini juga ia sudah turun, lalu dikorbankannya beberapa berapa lembu dan domba jantan yang tambun dan kambing
domba, dijemputnya segala putera tuanku dan segala penghulu tentara dan imam Abyatar, maka sesungguhnya sekarang makan minumlah
mereka itu sekalian di hadapannya, serta katanya: Berbahagialah kiranya tuanku Adonia!
26Tetapi akan patik tuanku ini dan akan imam Zadok dan Benaya bin Yoyada dan Sulaiman, patik tuanku itu, tiada dijemputnya.
27Jikalau kiranya dengan titah tuanku demikian, niscaya bukan dengan sebenarnya tuanku sudah memberitahu kepada patik siapa
yang akan duduk di atas takhta tuanku kemudian dari pada tuanku.
28Maka sahut baginda raja Daud, titahnya: Panggilkanlah aku Batsyeba. Maka datanglah ia menghadap baginda, lalu berdirilah ia
di hadapan baginda.
29Maka pada masa itu bersumpahlah baginda, titahnya: Demi Tuhan yang hidup dan yang sudah mengeluarkan nyawaku dari pada segala
kesukaran,
30bahwasanya seperti aku sudah bersumpah demi Tuhan, Allah orang Israel, kataku: Niscaya anakmu Sulaiman akan menjadi raja kemudian
dari padaku, dan iapun akan duduk di atas takhtaku menggantikan aku; tak akan jangan demikianpun hendak kuperbuat pada hari
ini juga.
31Maka sembah sujudlah Batsyeba kepada baginda dengan mukanya sampai ke bumi, sembahnya: Berbahagialah kiranya tuanku Daud sampai
selama-lamanya!
32Maka titah baginda raja Daud: Panggilkanlah aku imam Zadok dan nabi Natan dan Benaya bin Yoyada. Maka ketiganyapun datanglah
menghadap baginda.
33Maka titah baginda kepadanya: Bawalah sertamu akan segala hamba tuanmu dan naikkanlah puteraku Sulaiman di atas bagal kendaraanku
sendiri, lalu hantarlah olehmu akan dia turun ke Gihon.
34Hendaklah imam Zadok dan nabi Natan menyirami dia di sana dengan minyak bau-bauan akan raja orang Israel; setelah itu hendaklah
kamu meniupkan nafiri serta berseru-seru: Berbahagialah kiranya baginda raja Sulaiman!
35Lalu hendaklah kamu mengiringkan dia naik ke mari, maka iapun akan datang, lalu duduk di atas takhtaku, dan iapun akan naik
raja menggantikan aku, karena sudah aku bertitah bahwa ia akan menjadi penganjur orang Israel dan orang Yehuda.
36Maka sahut Benaya bin Yoyada kepada baginda, sembahnya: Amin! demikianlah kiranya firman Tuhan, Allah tuanku!
37Seperti Tuhan sudah menyertai akan duli tuanku, demikianpun hendaklah disertainya akan Sulaiman dan dibesarkannya kiranya
takhtanya terlebih pula dari pada takhta duli tuanku Daud!
38Setelah itu maka turunlah imam Zadok dan nabi Natan dan Benaya bin Yoyada dan segala biduanda, dinaikkannya Sulaiman di atas
bagal baginda raja Daud, lalu dihantarnya akan dia ke Gihon.
39Maka oleh imam Zadok diambil akan tanduk berisi minyak bau-bauan dari dalam kemah itu, lalu disiramnya akan Sulaiman; maka
nafiripun ditiup oranglah dan segala orang banyak itupun bersorak-soraklah, bunyinya: Berbahagialah kiranya baginda raja Sulaiman!
40Maka orang banyak itupun datanglah mengiringkan baginda sambil bermain pelbagai bunyi-bunyian serta bersuka-sukaan amat ramai,
seolah-olah bumi hendak belah rupanya oleh bunyi soraknya.
41Maka kedengaranlah ia itu kepada Adonia dan segala orang jemputan yang sertanya, dan yang baharu habis makan, dan lagi kedengaranlah
bunyi nafiri itu kepada Yoab, lalu katanya: Apa maunya bunyi ramai dalam negeri itu seolah-olah gemparlah isinya?
42Maka sementara ia lagi berkata-kata datanglah Yonatan bin Abyatar, yang imam, lalu kata Adonia: Marilah engkau masuk, karena
engkau juga orang berani dan engkaupun memberi kabar baik akan kami.
43Maka sahut Yonatan, katanya kepada Adonia: Bukan, melainkan yang dipertuan baginda raja Daud sudah merajakan Sulaiman;
44dan disuruhkan baginda sertanya akan imam Zadok dan nabi Natan dan Benaya bin Yoyada dan segala biduanda, maka dinaikkan oranglah
akan dia di atas bagal kendaraan baginda.
45Tambahan pula sudah disiram imam Zadok dan nabi Natan akan dia di Gihon akan raja, lalu berjalanlah mereka itu sekalian naik
dari sana dengan bersuka-sukaan, sehingga gemparlah seisi negeri, maka itulah bunyi yang telah tuan dengar itu.
46Dan lagi Sulaimanpun bersemayamlah di atas takhta kerajaan.
47Maka segala hamba baginda sudah datang juga membawa berkat kepada baginda raja Daud, sembahnya: Hendaklah kiranya Allah tuanku
masyhurkan nama Sulaiman terlebih pula dari pada nama tuanku dan biarlah dibesarkan-Nya takhta kerajaannya terlebih dari pada
takhta tuanku! Maka bagindapun lalu meminta doa di atas peraduannya.
48Dan lagi titah baginda demikian: Segala puji bagi Tuhan, Allah orang Israel, yang mengaruniakan pada hari ini seorang yang
duduk di atas takhta kerajaanku, sehingga mataku sendiri telah melihatnya!
49Maka pada masa itu berdebarlah hatinya dan bangkitlah berdiri segala orang jemputan yang serta dengan Adonia, lalu masing-masingpun
kembali kepada jalannya.
50Maka takutlah Adonia akan Sulaiman, sebab itu bangkitlah ia, lalu pergi memegang tanduk mezbah.
51Maka hal itu dimaklumkan oranglah kepada raja Sulaiman, sembahnya: Bahwasanya Adonia itu takut akan tuanku Sulaiman, sebab
itu dipegangnya akan tanduk mezbah, katanya: Biarlah baginda raja Sulaiman bersumpah kepada hamba pada hari ini juga, bahwa
tiada dibunuhnya akan hamba ini kelak dengan pedang!
52Maka titah raja Sulaiman: Jikalau ia melakukan dirinya dengan sepertinya, maka sehelai rambutpun tiada akan gugur dari kepalanya
ke bumi, tetapi jikalau didapati akan niat jahat dalamnya, niscaya iapun akan mati dibunuh kelak.
53Lalu disuruhkan baginda raja Sulaiman akan orang, maka dilalukan oranglah akan dia dari pada mezbah itu, maka datanglah ia
menyembah sujud kepada baginda raja Sulaiman, lalu titah raja Sulaiman kepadanya: Pulanglah engkau ke rumahmu.